Shafizal Haiqal Tampal Pelekat ‘Pointerku 3.85’, Ini Kisah Di Sebaliknya

Shafizal Haiqal, 20, yang kini menuntut dalam peringkat Diploma Pengajian Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis dan bekerja sebagai penghantar makanan sambilan menampal pelekat bertulis ‘Percayalah Pointerku 3.85’ pada kotak isian bungkusan di motosikalnya.

Perbuatannya ini kelihatan seperti menunjuk-nunjuk, tetapi ada kisah di sebalik pelekat tersebut. Shafizal berkata, pelekat itu ditampal 2 minggu lalu dengan niat memberi motivasi kepada dirinya sendiri untuk mencapai sasaran keputusan dalam peperiksaan.

Misi Shafizal Haiqal 

Beliau yang merupakan anak ke-2 daripada 3 beradik itu berkata, sasaran 3.85 sudah memadai kerana tidak yakin untuk menyasarkan Purata Nilai Gred (GPA) 4.

“Ini kerana GPA paling tinggi saya sebelum ini 3.35 saja jadi cuba letakkan 3.85 sebagai sasaran dengan harapan ia tercapai.

“Saya letak di kotak isian bungkusan makanan kerana itu bahagian paling kerap dilihat setiap hari.

Ada Juga Usikan ‘Riak’

Tidak dinafikan memang ada juga yang mengusik pemuda yang tinggal di Taman Kinta Permai itu riak, “Setakat ini, tiada pengguna jalan raya memandang pelik atau membunyikan hon ketika saya menunggang motosikal di jalan raya cuma rakan terdekat ada mengusik saya riak kerana menampal pelekat itu ,” katanya.

shafizal haiqal

Shafizal Haiqal sendiri tidak menyangka gambarnya itu menjadi tular di laman sosial dan hanya mengetahui perkara tersebut baru-baru ini. Itu pun diberitahu oleh bapanya.

“Saya dapat tahu gambar saya tular di laman sosial daripada ayah (Shahrizal Mustapha, 45). Terkejut kerana tidak tahu dan sedar ada yang mengambil gambar saya.

Peroleh Anugerah Dekan

“Walaupun sekadar memperoleh GPA 3.5 dalam keputusan peperiksaan yang keluar hari ini, saya bersyukur kerana akhirnya mendapat anugerah dekan dan akan terus berusaha untuk mendapatkan keputusan lebih baik pada semester hadapan,” katanya.

Kerjaya sebagai penghantar makanan tersebut telah dilakukan sejak November 2020 dan hanya sebagai sambilan bagi mengisi masa terluang ketika hari tiada kuliah secara online.

“Lagipun, sekarang ini masih cuti semester jadi lebih baik bekerja daripada duduk di rumah saja.

Sebulan Dapat RM 2,000

“Dalam sehari, saya boleh mendapat antara RM60 hingga RM70 dan pendapatan bulanan pula sebanyak RM1600 atau lebih RM2,000 jika rajin .

“Alhamdulillah, saya seronok lakukan kerja ini cuma ada juga pengalaman tersilap mengambil dan menghantar pesanan yang tidak disengajakan,” katanya.

Semangat anak muda seperti Shafizal Haiqal ini lah sepatutnya dicontohi oleh semua orang. Dalam usaha mencari ilmu pengetahuan, tidak dilupakan mencari rezeki bagi mengurangkan beban keluarga. Semoga beliau berjaya di dalam pelajarannya serta tetap menyumbang bakti kepada masyarakat.

Sumber : [Harian Metro]

Lihat Pautan : Murid Darjah 5 Dari Kuantan Cipta 1 Jenis Makanan Ternakan Mengalahkan 600 Peserta Dari 70 Negara Lain Raih Anugerah Berharga

Leave a Comment