Sesi Persekolahan Dilanjutkan Hingga Februari 2022 | Perincian

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Februari 2022. Tempoh ini bagi melihat tahap penguasaan murid dan pelajar selain memastikan mereka lebih bersedia memasuki sesi persekolahan baharu.

“Anak-anak akan kekal dalam kelas sama sehingga Februari 2022. Misalnya murid tahun 6 akan masuk ke tingkatan 1 pada Mac tahun depan.

“Tempoh perlanjutan ini bagi melihat tahap penguasaan murid dan apakah sokongan atau dokongan yang mereka perlukan.

“Bagi murid yang mempunyai tahap penguasaan masih lemah, kita akan fokuskan kepada program intervensi,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah di Putrajaya, pada 12 September.

Cuti Persekolahan

Cuti akhir tahun akan bermula pada 10 dan 11 hingga 31 Disember, “Maka untuk tahun 2022 kita akan laksanakan kalendar akademik 2022/2023. Kemasukan kumpulan murid tahun 1 pada 2022 akan bermula pada Mac 2022.

“Sama ada akan dikekalkan, kita akan bincangkan pada sesi libat urus pada masa akan datang,” katanya.

Sistem Penggiliran PdP

Sistem penggiliran sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan dilaksanakan dengan kehadiran 50 % kapasiti daripada jumlah sebenar murid dan pelajar.

Murid dan pelajar akan dibahagikan kepada 2 kumpulan mengikut minggu dengan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 %.

Pendekatan itu bagi memastikan semua ekosistem murid dan pelajar yang hadir ke sekolah selamat.

“Sebagai contoh, Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada minggu pertama manakala Kumpulan B menjalani PdP di rumah.

“Bagi minggu ke-2 sistem itu akan bertukar kepada Kumpulan B yang akan hadir ke sekolah manakala Kumpulan A belajar di rumah.

“Sistem ini akan berterusan mengikut keadaan semasa dan akan diberitahu kemudian jika ada sebarang perubahan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kumpulan pelajar akan dikecualikan daripada menggunakan sistem penggiliran persekolahan ini dan perlu hadir ke sekolah seperti biasa. Antaranya adalah;

  • Murid Berkeperluan Khas (MBK) di sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas (SMKPK),
  • Sekolah menengah pendidikan khas vokasional (SMPKV),
  • Sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK)
  • Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
  • Murid Tingkatan 6 semester 2 dan IBD tahun 2
  • Murid sekolah asrama penuh
  • Murid kelas peperiksaan antarabangsa
  • Murid prasekolah
  • Tadika swasta
  • Pusat perkembangan minda umur 4 – 6 tahun
  • Sekolah kurang murid ; kapasiti kurang 150 murid
Boleh Tidak Hantar Anak Ke Sekolah

Bagaimanapun, ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah kerana bimbang ancaman Covid-19 perlu mengemukakan surat kepada pihak sekolah untuk rekod ketidakhadiran.

Radzi berkata, ketidakhadiran itu tidak akan dianggap kesalahan disiplin dan surat amaran tidak akan dikeluarkan.

“Kami memahami keadaan jika ada ibu bapa atau penjaga yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Itu antara keseimbangan kita cuba bawa ke sekolah kerana memahami kerisauan ibu bapa penjaga,” katanya.

Tidak Wajib Pakai Pakaian Seragam

Selain itu, pelajar dibenarkan untuk tidak memakai pakaian seragam jika pakaian sedia ada sudah tidak lagi muat semasa sesi persekolahan. Namun, murid perlu memakai pakaian yang sopan, kemas dan sesuai untuk ke sekolah.

Radzi berkata, langkah itu bagi membolehkan semua murid hadir ke sekolah sesuai semangat membawa kembali pelajar ke sekolah.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baharu… matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya.

Selain itu, setakat ini, aktiviti sukan dan kokurikulum belum dibenarkan, namun untuk aktiviti Pendidikan Kesihatan dan Jasmani (PJK), murid disaran untuk memakai pakaian sukan di rumah.

“Sementara itu, bagi waktu rehat, murid akan dibenarkan makan di dalam kelas, namun bagi kelas yang ada penghawa dingin, mereka perlu makan di luar dengan pengawasan guru,” katanya.

Diharapkan dengan sejumlah keringanan yang diberikan oleh Menteri Kanan Pendidikan ini mengurangkan bebanan pelajar dan ibu bapa.

Tidak dinafikan bebanan guru dengan sesi persekolahan semasa cabaran pandemik ini sememangnya semakin banyak. Bagaimanapun, didoakan semoga para pendidik diberikan kesabaran dan ganjaran besar dengan pengorbanan yang dilakukan.

Sumber : [Metro 1] [2] [3] [4

Lihat Pautan : Murid Darjah 5 Cipta Makanan Ternakan Dapat Anugerah Antarabangsa, Kalahkan 600 Peserta Dari 70 Negara

Leave a Comment