Senarai Doa-Doa Di Hari Arafah, Hari Di Mana Doa Adalah Mustajab

Zikir Terbaik & Contoh Senarai Doa Pada Hari

Sebaik-baik doa hari Arafah dan zikir yang boleh diamalkan adalah seperti yang disebutkan dalam hadis sahih ini:
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,

doa hari arafah

La Ilaaha illallaahu wahdahu laa syariika lah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai-in qadir.

Maksudnya: Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (HR Tirmizi)

[BACA : 5 AMALAN YANG PAHALANYA SETARA PAHALA HAJI]

Contoh Senarai Doa Hari Arafah

doa hari arafah
Kredit : PPZ

Dikongsikan beberapa contoh doa hari Arafah yang mungkin anda boleh masukkan dalam senarai doa sedia ada. Doakan kebaikan kita semua juga ya.

Ya Allah, kurniakan padaku kejayaan terbesar, selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus.

Ya Allah, masukkan aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman, yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.

Ya Allah, kurniakan padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah SAW.

Ya Allah, masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah SAW, keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.

Ya Allah, kurniakanlah hidayahMu kepada rakan-rakan bukan Islamku. Kurniakanlah mereka nikmat Islam.

Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan-orang yang aku sayangi semata-mata keranaMu.

Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadahku. Selamatkan aku daripada segala jenis kejahatan.

Ya Allah, terima amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkan aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.

Ya Allah, apabila aku mati, biarkan jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi.

Ya Allah, kurniakan kepadaku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan iman.

Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunanMu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari ArashMu.

Ya Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Jangan jadikan keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaanMu, kehebatanMu dan kekuasaanMu.

Ya Allah, tingkatkan kecintaanku untukMu dan NabiMu.

Ya Allah, ampuni aku dan tingkatkan kurnian rahmat dan rezekiMu.

Ya Allah, beri aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanMu.

Ya Allah Ya Rabb, sucikan niatku hanya untukMu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk-nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.

Wahai Penciptaku dan Tuhanku, kurniakanlah aku dengan pasangan dan anak-anak yang menjadi penyejuk mataku.

Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan aku dari kalangan orang yang sabar dan patuh kepadaMu dan kepada ibu bapaku.

Ya Allah, selamatkan aku dari fitnah Dajjal.

Ya Allah, selamatkan aku dari azab kubur dan azab api neraka.

Ya Allah, tingkatkan usahaku dalam kerja-kerja sadaqatul jariah.

Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.

Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkan bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.

Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti. Sesungguhnya aku sememangnya memerlukan kurniaan dariMu Ya Allah.

Ya Allah, tingkatkan kesyukuranku semata-mata kepadaMu.

Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.

Ya Allah, izinkan aku dan keluargaku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami dijemput olehMu.

Ya Allah, lindungi kami dari syaitan, jin, khamar, zina dan maksiat. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat jahat para jin dan syaitan.

Ya Allah, ampuni dan berikan rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.

Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.

Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, berilah aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.

Ya Allah, hapuskan wabak Covid19 di seluruh dunia dan sembuhkan mereka yang dijangkiti.

Ya Allah, ampunkan segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan ampunkan segala dosa seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Bacalah doa yang biasa anda baca setiap hari dan tambah dengan senarai lain doa hari Arafah ini. Berdoalah kerana Allah Maha Mendengar. Semoga dikabulkan setiap doa-doa kita. Aameen Ya Mujiib.

Sumber (dengan suntingan) : Sahabat Pencinta Al-Quran

Leave a Comment