RCI Dianggotai Pakar Ditubuh Untuk Siasat Tabung Haji

RCI : Kemelut di dalam pengurusan Tabung Haji memang telah lama sejak lama dahulu. Perancangan demi pertimbangan telah dilakukan untuk menubuhkan satu badan bebas dan berautoriti bagi mengkaji dan mencari jalan penyelesaian kemelut tersebut.

Akhirnya, pada tahun 2020 dicadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Terkini, penubuhan RCI telah dipersetujui oleh kabinet yang bakal dianggotai oleh pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

[TERKINI : PUASA ARAFAH HAPUSKAN DOSA TAHUN LEPAS DAN TAHUN DEPAN]

Kabinet Bersetuju Tubuhkan RCI

Menurut laporan Berita Harian pada hari ini, kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH). Penubuhan badan ini adalah di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Siasatan Merangkumi Hasil Audit Perunding

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Perdana Menteri berkata siasatan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Terma Skop RCI Tertumpu Kepada Isu Berbangkit

“Antara terma yang dipersetujui Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit TH tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

“Kedua, menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, antara terma lain yang terkandung dalam badan siasatan itu adalah mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung jika didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan sebarang siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Bertujuan Penambahbaikan Tadbir Urus TH

“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus TH. Selain itu, mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Anggota Terdiri Daripada Pakar-Pakar

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian badan tersebut yang dicadangkan. “Ia terdiri daripada pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.”

“Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Memulihkan Imej &Keyakinan Rakyat Terhadap TH

Katanya, penubuhan RCI adalah wajar bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan TH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya.

Diharapkan dengan penubuhan badan profesional ini dapat mengembalikan kredibiliti serta kewibawaan Tabung Haji dalam menguruskan harta umat Islam.

Sumber : [1]

Leave a Comment