Baru-baru ini, seluruh dunia telah digemparkan dengan kemunculan virus baru yang kini dikenali sebagai Coronavirus. Virus tersebut telah mencetuskan Pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan bukan sahaja ekonomi global tetapi juga aspek pendidikan yang sepatutnya sedang berkembang pesat. Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan telah menghentikan serta mengganggu sistem pendidikan. Ini menimbulkan masalah bagi pendidik serta pelajar untuk menjalankan kelas berasaskan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk mewujudkan alternatif baru bagi membantu kelancaran sistem ini.
Antara langkah dan norma baru yang telah diimplementasikan oleh seluruh warga pelajar dan pendidik adalah pelaksanaan kelas secara dalam talian. Hal ini secara tidak langsung dapat memenuhi spesifikasi pendidikan dalam abad ke-21, kerana ia menekankan penggunaan teknologi terkini serta mengasah kemahiran interpersonal dan intrapersonal pelajar. Namun, terdapat banyak cabaran yang timbul.
Salah satu daripadanya merupakan akses kepada internet, terutamanya kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak. Hal ini demikian kerana capaian internet yang kurang memberangsangkan di beberapa kawasan pedalaman. Isu yang baru sahaja menjadi tarikan ramai adalah berkaitan dengan saudari Veveonah, pelajar Asasi Sains, Universiti Malaysia Sabah, yang telah memanjat serta bermalam di atas pokok untuk menjawab peperiksaan mereka. Aksi yang menunjukkan kesungguhan ini menumbulkan banyak kontroversi, terutamanya kepada kesan dan kebaikan pelaksanaan kelas secara dalam talian.
Oleh itu, warga pendidik telah mengambil satu lagi initiatif, iaitu dengan melaksanakan kelas dalam talian secara tidak segerak serta menggantikan peperiksaan dengan penilaian lain. Penilaian tersebut termasuklah kerja rumah serta aktiviti yang dijalankan ketika kelas tidak segerak. Ini bukan sahaja dapat meringankan beban pelajar, tetapi ia juga dapat membantu guru untuk membentuk sistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif.
Dalam merealisasikan pengarajan dan pembelajaran abad ke-21 ketika pandemik ini, norma-norma baru dalam pendidikan perlulah dipatuhi oleh para pelajar serta pendidik untuk memastikan sistem tersebut kekal koheren dengan perkembangan semasa.