Keistimewaan Dan Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah Adalah Hari Istimewa

Hari ini, 9 Zulhijjah merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh kita semua kerana jelas telah diriwayatkan bahawa di hari Arafah adalah hari doa paling mustajab. Berbeza dengan bulan Ramadhan tidak ada yang tahu bila malam Lailatul Qadar, cuma dikhususkan menambah amal ibadah di 10 terakhir Ramadhan. Manakala 10 hari pertama Zulhijjah telah diberitahu secara jelas bahawa Hari Arafah merupakan hari yang paling mustajab doa dan paling dekat untuk dimakbulkan.

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,

Laa ilaaha illallaahu wahdahu laa syariikalah lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in qadiir. (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya kekuasaaan dan milikNya segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.) [HR Tirmizi]

[LIHAT : SENARAI DOA DI HARI ARAFAH]

Wukuf

istimewa wukuf

Wukuf pada hari Arafah dan doa mustajab ini adalah khusus kepada jemaah haji yang berada di sana di mana amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah khususiyyat (perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka boleh mengambil peluang dan keistimewaan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing, tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Ini kerana tiada dalil khusus yang menghadkannya.

Waktu Afdhal Berdoa Pada Hari Arafah

Waktu Wukuf di Padang Arafah bagi tahun 2021 ini adalah seperti berikut:

  • 12.27 pm – 7.04 pm (Mekah)
  • 5.27pm – 12.04 am (Malaysia)

Timbul persoalan, perlukah untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?

Jika diteliti hadis Nabi s.a.w, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada Hari Arafah.

Jadi, bagaimanakah mentafsirkan hari Arafah?

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah.

Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.

Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”

Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.

Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat istimewa iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.

Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.

Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari keistimewaan doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya: “Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”

Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.

Istimewa bukan hari ini? Jadi, janganlah lepaskan peluang yang cuma datang setahun sekali ini.

Sumber :[Harian Post] [Pusat Pungutan Zakat]

Leave a Comment