Imam Besar Minta Maaf Secara Terbuka | Dr. Kamilin Kongsi Idea

Ustaz Ikmal Zaidi Hashim, Imam Besar Masjid Putra meminta maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam berkenaan videonya yang lepas berhubung isu layanan VIP semasa solat Jumaat baru-baru ini.
Rakaman permohonan maaf itu dilakukan secara terbuka menerusi laman Facebook Masjid Putra Putrajaya pada lebih kurang jam 10.25 pm semalam. Beliau memohon maaf berhubung video penjelasan yang dilihat agak keterlaluan oleh masyarakat.

imam besar

 

Antara petikan ucapan Imam Besar Masjid Putra tersebut adalah;

“Dengan rendah hati, saya ingin memohon maaf atas segala keterlanjuran tersebut dan berazam serta berjanji akan membaiki keadaan terutama berkaitan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Putra.

“Saya juga mengajak semua khasnya jemaah Masjid Putra untuk teruskan aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat atau solat fardu dan program yang akan dianjurkan kelak,”

Lontaran Idea Dr. Kamilin Jamilin

imam besar

Sebelumnya, kelmarin Dr. Kamilin juga ada berkongsi pandangan beliau di Facebook beliau. Berikut merupakan perkongsian peribadi beliau;

Secara peribadi saya tidak pernah menyokong sistem yang memberi kelebihan kepada golongan VIP di dalam RUMAH ALLAH (di luar lain ceritalah), baik peruntukan kuota atau tempahan tempat atau apapun, kerana masjid yang didirikan kerana Allah SWT adalah hak kaum muslimin bersama sekalipun pengurusannya di bawah kerajaan negeri.

“Sekiranya manusia mengetahui apa yang ada (iaitu kelebihan dan keutamaan) di dalam azan dan saf yang pertama, lalu mereka tidak dapat mendapatkannya kecuali dengan melakukan undian, nescaya mereka akan melakukan undian untuk mendapatkannya” [hadis riwayat al-Bukhari].

Kita faham pihak pengurusan masjid terikat dengan arahan tugas, namun di peringkat atasan yang mengeluarkan arahan, ‘privilege’ seperti ini tidak sepatutnya wujud.

Alasan seperti orang atasan kerajaan sibuk mesyuarat lewat sana sini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mendapatkan hak istimewa ini. Jangan jadikan urusan dunia sebagai alasan untuk berlengah pergi ke masjid menunaikan solat, sedangkan Allah Jalla Jalaaluhu telah memberikan peringatan:

“Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya” [al-Jumu’ah: 9-10].

Sekalipun kita rindukan rumah Allah, tapi kita faham bahaya Covid-19 dan pandemik ini masih belum selesai. Kita tidak pinta lebih, tapi biarlah SOP masjid diperluaskan seiring dengan aktiviti di luar.

Dikala kapasiti wayang sudah dibuka 50%, pelbagai tempat di luar sudah semakin rancak dengan kapasiti masing-masing, biarlah masjid juga seiring dibuka dan digerakkan aktivitinya mengikut kapasiti yang selayaknya.

Hentikan persepsi dan prejud!s bahawa masjid merupakan tempat ‘paling baha.ya’ sehingga sering dilihat paling awal ditutup dan paling akhir dilonggar.

Kita faham pihak mufti sudah menyampaikan suara. Sebagai rakyat, mereka sudah ada jawapannya di hadapan Allah kelak dengan melepaskan kewajipan mereka di pundak ulil amri. Namun adakah para penguasa dan badan agama negeri yang membuat keputusan bersedia merisik0kan diri apabila dipersoal tentang setiap individu muslim mukallaf yang tidak dapat menunaikan fardu Jumaat minggu di akhirat kelak?

Setiap kelewatan dalam memberikan keputusan akan menambah beban kita di hadapan Allah kelak.

Demikian kongsi Dr. Kamilin. Apa yang dikongsikan Dr. Kamilin sebagai seorang ilmuan pastilah berdasarkan fakta ilmu pengetahuan bukan sekadar pandangan biasa.
Bagaimanapun, Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Ikmal Zaidi telah pun meminta maaf dan berjanji akan memperbaiki SOP. Diucapkan tahniah atas kematangan beliau meminta maaf secara terbuka serta keterbukaan beliau menerima teguran. Semoga institusi masjid di Malaysia bertambah kukuh dan berkredibiliti.

Sumber : [Kosmo] [FB Dr. Kamilin]

Lihat Pautan : Sungai Pisang Sesak, Sampah Ditinggalkan Bertaburan Berlonggok

Leave a Comment