Apa Kata Al-Quran Tentang Tidur? 4 Jenis Tidur Dalam Al-quran

Tidur jangan menghabis umur, jaga jangan mengabis masa. Antara kluster yang muncul semasa PKP adalah kluster tidur yang kerjanya cuma tidur seharian. Bangun pagi, makan kemudian tidur. Menonton televisyen kemudian tidur lagi dan lagi dan lagi. Tidur haruslah sederhana, banyak sangat tidak boleh, tidak tidur pun tidak boleh.

Tidur yang banyak akan merosakkan badan. Orang bijak pandai berkata, 3 perkara yang menyebabkan hati menjadi keras;

  1. Suka Tidur
  2. Banyak Rehat; Peluh berkira, makan berselera.
  3. Suka Makan; Berterusan memesan makanan di foodpanda, grabfood.

Orang bijak pandai berkata lagi; “Tidak ada kesihatan yang disertai dengan perangai banyak tidur, tidak ada kesihatan yang disertai dengan banyaknya makan, tidak ada kesembuhan yang disertai dengan benda-benda haram.”

Adalah sangat rugi jika sepanjang PKP ini kita cuma tidur sepanjang hari. Tidur semasa hampir subuh, bangun pula semasa hampir zuhur. Sangatlah merugi.

[BACA : 5 RAHSIA KEJAYAAN KOLONEL SANDERS ADA DALAM DIRI KITA]

Doa Khusus Nabi Untuk Umatnya Yang Bangun Pagi

Nabi memberi doa khusus buat umatnya yang bangun pagi hari khususnya untuk yang mencari rezeki;

“Allaahumma baarikli ummati fii bukuuriha”
Ya Allah berilah berkat kepada umatku pada waktu paginya. [HR Abu Daud]

Morning Person Adalah Orang Yang Berjaya

Di seluruh dunia, orang yang berjaya adalah morning person, pepatah Barat ada menyebut; The early bird catches the worm. Ada kajian pernah dibuat 90% tokoh2 korporat dan konglomerat dunia yang terdiri daripada taikun2 yg berjaya adalah mereka yg bangun pagi sebelum jam 6 pagi.

Benjamin Franklin pernah berkata; “Early to bed early to rise , makes a man healthy wealthy and wise.” Orang di Barat kebanyakannya suka bangun pagi. CEO syarikat Coca Cola bangun setiap hari pukul 4 am dan masuk ke pejabat pukul 7 pagi. CEO Walt Disney, setiap hari bangun 4.30 am. CEO Twitter, setiap hari bangun jam 5.30 am.

Hendak menjadi orang berjaya jangan bangun terlalu lambat. Pergi ke kebun membuang duri, bawa bekal rendang ketupat, kalau bangun meninggi hari jangan dikesal hidup merempat.

Narcolepsy

Namun kita tidak boleh marah kalau adanya orang kuat tidur kerana bukan semua orang yang kuat tidur itu malas atau kuat membuta. YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu sering diperlekehkan, dikecam, dikeji kerana sering tertidur dalam majlis walhal tidak ramai yang tahu beliau menghidap penyakit narcolepsy, penyakit kronik di mana seseorang itu boleh tertidur bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Beliau sehingga tahap terpaksa membuat pembedahan membuang polyp atau ketumbuhan dari dalam hidungnya di Australia pada tahun 2007.

Jabatan kesihatan dahulu pernah membuat kempen kesihatan 88888 iaitu ;
Berhenti makan sebelum kenyang, 80% sahaja kenyang.
Makan malam mesti sebelum jam 8pm.
Minum 8 gelas air kosong.
Berjalan paling kurang 8000 langkah.
Tidur jangan kurang daripada 8 jam.

tidur

Persimpangan Kematian

Tidur merupakan persimpangan kematian manusia, manusia menghabiskan 1/3 daripada hidupnya untuk tidur sahaja. Kalau dikaji kita hidup dari lahir hingga umur 75 tahun, kita telah menghabiskan selama 26 tahun untuk tidur dengan nisbah 8 jam setiap kali tidur dalam sehari dan mengambil masa 3 tahun untuk bergolek atau berpusing sebelum tertidur.

4 Jenis Tidur Di Dalam al-Quran

Di dalam al-Quran, dalam bahasa Arab, tidur mengambil pelbagai kosa kata seperti naum, ruquud, nu’aas dan sinnah.

Naum

Merujuk kamus Al-Munawwir maknanya tidur berasal daripada kalimat nawama. Kebekuan. Beku dalam erti kata tidak bergerak-gerak atau ‘sukuunin‘ yang bermaksud tenang. Perkataan ini ditulis sebanyak 12 kali di dalam al-Quran iaitu di dalam 10 surah; (al-An’am ; ayat 60, al A’raf ; ayat 97, al-Kahfi, ayat 18-19, az-Zumar ayat 42, az-Zaariyaat ayat 17, al-Qalam ayat 19, ar-Ruum ayat 23, al-Baqarah ayat 255, al-Furqaan ayat 47 dan an-Naba’ ayat 9)

Ruquud

Ayat jamak dari ruquud adalah raaqid, daripada akar kata roqoda. Kata para ulama, tidur di siang hari disebut ruqaad, tidur di malam hari disebut ruquud. Dalam quran, ada perkataan ruquud iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 18 dan marqad dalam surah Yaasiin.

Nu’aas

Kata ini pula merujuk kepada mengantuk pada kawasan kepala. Dalam bahasa kita, disebut mengantuk mata, mata hampir tertutup. Perkataan ini disebut di dalam surah Aali ‘Imran ayat 154.

Dalam satu hadis yang mafhumnya, Abu Talhah berkata ; kami merasa sangat mengantuk semasa kami berada di dalam saf peperangan sewaktu Per.@ng Uhud. Ada di antara mereka yang begitu mengantuk hingga pedang terjatuh daripada tangan dan ada yang tolong mengambilnya. Pedang terjatuh lagi beberapa kali dan ada lagi orang yang tolong mengambilnya. [HR Imam Tirmizi]

Para ulama berkata hadis ini mengenai malam di perang uhud, selepas mereka mengalami kesedihan dan juga penderitaan mendalam kerana pepe.r@ngan Uhud. Maka Allah mengurniakan kepada orang islam pada ketika itu kedamaian dan keselamatan. Kedamaian berupa tidur yang nyenyak kepada sebahagian daripada kalangan mereka. Ayat ini senada dengan firman Allah dalam surah al-Anfaal ayat 11 mengenai kisah Per.@ng Badar bahawa mengantuk juga adalah satu bentuk nikmat.

Begitulah perkataan-perkataan yang digunakan dalam al-Quran, indah kerana penggunaan bahasa yang berbeza pada maksud yang sama namun terdapat pengkhususan makna pada setiap kata tersebut.

Sukar Tidur

Kehidupan manusia sekarang ramai yang sukar tidur kerana teknologi, elektrik dan internet. Manusia pada zaman dahulu sebelum hadirnya segala jenis teknologi amat mudah tidur. Bersyukurlah jika kita rasa mengantuk dan selepas mengantuk sahaja terus tertidur kerana ini nikmat.

Digambarkan dalam filem fiksyen sains bertajuk ‘Awake’, pada satu saat akan smpai masa dimana manusia akan hilang kebolehan untuk tidur, sesiapa yang boleh tidur merupakan legend dan akan menjadi orang yang dihormati kerana masih mempunyai kebolehan untk tidur. Saintis akan mengambil organ badan untuk dijadikan ujikaji kerana hendak mengetahui bahan apakah yang menyebabkan orang ini dapat tidur. Akankah manusia benar-benar akan jadi sebegini pada satu peringkat masa nanti? Wallaahu a’lam.

Microsleep

Mengantuk pada mata tidak mengapa, jangan mengantuk pada otak atau badan kerana akan menyebabkan microsleep. Microsleep bererti input daripada deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat diproses oleh otak. Tempoh mikrosleep adalah 1-30 saat, boleh berlaku walau mata masih terbuka. Orang yang memandu dalam kelajuan 70km sejam, jika berlaku microsleep dalam masa 3 saat sahaja akan menyebabkan kereta akan menyusur tanpa kawalan sejauh 200 m dan mengakibatkan nyawa boleh melayang.

Nabi s.a.w sahaja tidak benarkan orang untuk beribadah kalau rasa mengantuk. Apakah baginda akan membenarkan aktiviti memandu jika mengantuk, kalaulah pada zaman baginda boleh memandu? Tentu shaja tidak kerana mengakibatkan kehilangan nyawa.

Kalau Mengantuk Masa Beribadah, Sunnah Untuk Tidur Sekejap Dahulu

Imam al-Baghawi dalam kitab Syarah Sunnah dalam bab meninggalkan amalan kerana terlalu mengantuk atau penat ada merekodkan hadis dari Aisyah r.a dimana mafhumnya kalau seorang daripada kamu mengantuk semasa solat, hendaklah dia baring seketika sampai hilang daripadanya rasa mengantuk. Ini kerana kalau kamu mengantuk sangat dan kamu teruskan solat dalam keadaan mengantuk aku khuatir kamu meminta ampun tetapi kamu bukan baca bacaan minta ampun, tetapi mencaci diri sendiri. [HR Bukhari Muslim]

Dalam hadis riwayat Abu Hurairah yang mafhumnya, jika salah seorang daripada kamu mendirikan qiyamullail kemudian ketika itu bacaan al-Qurannya menjadi kucar kacir kerana mengantuk, hingga tidak memahami apa yang dibaca, maka berbaringlah. [HR muslim]

Adalah sunnah untuk seseorang yang melakukan suatu amalan untuk tidur dahulu untuk hilangkan rasa mengantuknya dan agar tidak merosakkan amalan. Imam malik ada berkata, kalau salah seorang daripada kamu mengantuk semasa solat, berhentilah dan tidur sekejap sehingga kamu sedar apa yang dibaca. [HR Bukhari]

Apa yang mustahak adalah solat yang dilaksanakan tersebut disyaratkan tidak keluar daripada waktunya.

Antara cara lain yang diajar oleh Nabi ketika rasa mengantuk semasa khutbah Jumaat adalah, bergerak atau berpindah tempat duduk, khususnya ketika solat jumaat. Ada hadis daripada Ibnu Umar yang mafhumnya, kalau kamu rasa mengantuk pada hari Jumaat semasa khutbah jumaat, hendaklah berpindah dari tempat duduk. [HR Tirmizi]

Sinnah

Ertinya mengantuk yang dikhususkan kepada Allah yg tidak mungkin mengantuk seperti dalam ayat Kursi surah al-Baqarah ayat 255. Allah tidak sesekali tidur, mengantuk atau lalai dalam mengatur dunia ini. Mengantuk adalah sifat makhluk sahaja yang merupakan tanda kelemahan dan kelalaian makhluk.

Manusia tidak akan dapat selama-lamanya mengelak daripada tidur. Rekod paling lama orang tidak tidur pernah direkod pada tahun Disember 1963 hingga Januari 1964 , seorang pemuda bernama Randy Gardner yang tidak tidur selama 264.4 jam, 11 hari 45 minit. Guiness Book Of Record kemudiannya tidak membenarkan orang untuk memecahkan rekod tidak tidur kerana sangat berbahaya kepada kesihatan. Randy melakukan hal tersebut bukan kerana gelaran namun kerana suatu ujian sains, setelah peristiwa itu beliau mengalami insomnia.

Pada 14 hingga 16 Ogos 2000, pernah ada percubaan dilakukan oleh rakyat Malaysia, DJ Halim Othman yang pada masa itu bertugas di Radio Era, bertugas selama 42 jam di konti. Beliau dicatatkan di dalam Guiness Book Of Record Malaysia.

Pada 22 Mei 2002, ahli silap mata David Blair, membuat persembahan vertigo, berdiri di atas satu tiang tanpa bergerak selama 35 jam, kemudiannya dia mengalami masalah kesihatan selepas daripada peristiwa itu.

Tidur Tanda Kasih Sayang Allah

Tanda kasih sayang Allah kepada makhluk seperti dalam surah ar-Ruum ayat 23 adalah dengan tidurnya manusia di siang hari atau malam hari. Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di menafsirkan ayat ini bahawa tidur adalah satu bentuk rahmat Allah. Kerana kasih sayang Allah dijadikan bagi kamu malam dan siang, supaya kamu beristirehat pada malam hari.

Dikatakan juga sesiapa yang tidak tidur selama 16 jam paras fikirannya akan merosot sama seperti terdapat paras alkohol 0.05% di dalam darah. Jadi tidurlah berehat pada waktu malam.

Apa yang dapat disimpulkan, tidur merupakan rahmat kasih sayang Allah kepada kita, namun, bersederhanalah. Jangan tidur terlalu banyak dan jangan juga langsung tidak tidur. Tidur yang berkualiti akan menjamin kehidupan yang berkualiti.

Sumber : Ceramah Ustaz Badli Shah Alauddin

Leave a Comment