5 Amalan Mudah Ini Jika Dilakukan Akan Mendapat Pahala Menunaikan Haji~Ustazah Dunia Shuaib

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hanya seramai 296 sahaja rakyat Malaysia yang layak menunaikan haji pada tahun ini dan dijangka berangkat pada hari ini. Menunaikan haji merupakan antara kandungan rukun Islam yang wajib dilakukan oleh semua muslim jika telah menepati syarat-syaratnya. Pahala menunaikan haji yang mabrur tersangatlah besar iaitu semua dosa akan diampunkan;

Kita semua melakukan dosa bukan? Dan semua orang mahu dosa diampuni. Nabi s.a.w sangat menyayangi umatnya, baginda tahu tidak semua orang mampu menunaikan haji, lalu baginda bersabda yang mafhumnya jika sesiapa yang melakukan amalan ini pahalanya sama seperti menunaikan haji. Subhaanallah, Maha Pemurahnya Allah. Namun 5 amalan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan kewajiban haji.

Bayangkan di akhirat nanti kita antara orang-orang yang sangat gembira kerana di dunia kita telah menunaikan solat 5 waktu, berpuasa penuh di bulan Ramadhan, bersedekah dan pelbagai amalan tambahan lain seperti membaca alquran, berzikir, membantu orang yang kesulitan, pergi haji dan umrah untuk mengumpul pahala.

Tiba-tiba semasa menghadap Allah SWT, semua amalan kebaikan tersebut tidak ada! Nabi s.a.w bersabda, setiap hari Isnin dan Khamis, amalan-amalan kita akan di persembahkan kepada Allah SWT, dan Allah akan mengampuni semua orang kecuali 2 golongan ini ;

  1. Orang yang melakukan syirik
  2. Orang yang di dalam hatinya terdapat kebencian, kemarahan terhadap muslim yang lain.

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini yang menyebabkan semua amalan kita musnah begitu sahaja.

Belajarlah Memaafkan

Pada suatu hari, Nabi s.a.w duduk di masjid bersama para sahabatnya dan datang seorang lelaki yang langsung tidak dikenali oleh semua dan nabi berkata, “Lelaki yang datang ini merupakan ahli syurga”, esoknya, lelaki tersebut datang lagi dan nabi mengulang bahawa lelaki tersebut merupakan ahli syurga. Hal ini berulang sehingga hari yang ketiga. Para sahabat begitu keliru kerana mereka langsung tidak mengenali lelaki itu. Seorang sahabat pun berkata kepada lelaki tersebut untuk tinggal 3 hari bersamanya lalu beliau diizinkan.

Setelah 3 hari, sahabat tersebut berkata beliau tidak menemukan apa pun amalan tambahan yang istimewa oleh lelaki tersebut. Sahabat tersebut sedih dan kecewa dan hendak berlalu pergi. Lelaki tersebut memanggil sahabat itu dan berkata, sebelum aku tidur setiap malam, aku maafkan semua orang yang pernah menyakitiku dan aku tidak menyimpan sedikit pun rasa cemburu terhadap orang yang Allah berikan nikmat keduniaan melebihiku. Sahabat kemudiannya berpuas hati dengan jawapan lelaki itu.

Kerana itu, maafkanlah walaupun sukar dan perit. Belajarlah memaafkan. Mintalah pertolongan dari Allah untuk memaafkan. Tentang apa yang mereka lakukan biarlah Allah yang menilainya, tugas kita memaafkan. Allah tidak pernah tidur. Sambunglah silaturrahim sesama ahli keluarga.

5 Amalan Mudah Sama Pahala Dengan Haji

amalan
Ustazah Dunia Shuaib semasa kuliah muslimah.

[1] Niat Yang Bersih Dan Ikhlas

Dalam mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dunia ini mempunyai 4 jenis manusia, 2 jenis ini antaranya;

Pertama, orang yang Allah kurniakan kekayaan dan ilmu pengetahuan, dengan kekayaan itu digunakan untuk meraih keredhaan Allah, menyambung silaturrahim, menunaikan hak-hak Allah dan manusia ini akan ditempatkan di tempat yang sangat istimewa.

Kedua, orang yang Allah kurniakan ilmu pengetahuan namun tidak diberikan kekayaan harta, apabila orang ini melihat orang dalam golongan pertama tadi, terdetik di dalam hati, kalaulah aku punya harta aku juga akan seperti dia. Nabi berkata, pahala orang ini akan sama dengan orang pertama tadi! Allaahu akbar.

Ada satu cerita dalam hadis riwayat Muslim, dari Jabir r.a, dia berkata, “Dalam suatu peper. angan (per. ang Tabuk) kami pernah bersama Nabi s.a.w, lalu beliau bersabda, “Sesungguhnya di Madinah ada beberapa orang yang tidak ikut melakukan perjalanan perang, juga tidak menyeberangi suatu lembah, namun mereka bersama kalian (dalam pahala). Padahal mereka tidak ikut berperang kerana uzur sakit.” (HR. Muslim, no. 1911)

Hanya Allah sahaja yang tahu kenapa kita tidak dapat melakukan haji, mungkin kerana masalah kewangan, kesihatan, tuntutan hidup dan kerja, anak dan lain-lain. Namun, jika anda menyematkan niat yang kuat di dalam hati hendak menunaikan haji, anda sebenarnya telah pun sampai ke tanah suci sekarang. Jiwa anda bersama para jemaah haji, inshaAllah anda juga akan mendapat pahala yang sama.

[2] Melakukan solat fajar di masjid sehingga matahari terbit dan menunaikan solat sunat 2 rakaat (solat isyraq).

Allah berfirman, sesiapa menunaikan fajar kemudian setelah itu duduk berzikir mengingat Allah swt sehingga matahari terbit kemudian melakukan solat sunat 2 rakaat, akan mendapat pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna dan sempurna. Allahu akbar.

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “barangsiapa yang solat subuh berjamaah, kemudian duduk berzikir memuji Allah hingga terbit matahari, kemudian solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala haji dan umrah. Lalu Nabi s.a.w menegaskan: Sempurna..sempurna..sempurna. (HR. Tirmidzi 586, al-Bazzar 9314)

Bayangkan dalam masa 1 jam lebih melakukan ini bermula daripada solat subuh di masjid, anda akan mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna. MashaAllah. Apa bentuk zikir mengingat Allah yang boleh dilakukan? Bacalah al-quran, hayati dan tadabbur al-quran, berzikirlah dengan sepenuh hati menghayati maksud-maksud subhaanallah, alhamdulillah wa laa ilaaha illallaah wallaahu akbar. Berdoalah kerana doa juga adalah ibadah. Allah Maha Pemurah dan malu jika tidak memberi apa yang diminta oleh hambaNya.

Wanita yang tidak dapat ke masjid juga boleh melakukan yang sama di rumah dengan berjemaah dengan ahli keluarganya kerana ada ulama mengatakan pahalanya juga sama.

[3] Zikir Selepas Solat

Bacalah zikir subhaanallah 33 kali, alhamdulillah 33 kali dan allahuakbar 33 kali. Sebagaimana mafhum dalam hadis riwayat Ahmad (7243), serombongan sahabat miskin pernah datang kepada Nabi s.a.w mengadukan persaingan amal dengan sahabat yang kaya. Bukan karena hasad terhadap dunia, namun kerana keinginan untuk mendapatkan pahala yang sama. Abu Zar berkata, orang-orang kaya telah mendahului kami, ini tidak adil, mereka solat, berpuasa seperti kami, tetapi mereka ada harta dan mereka boleh bersedekah, mereka lakukan kebaikan-kebaikan, haji dan umrah.

Apa kata nabi? Mahukah kamu aku ajarkan sesuatu yang kalau kamu lakukannya, kamu akan melebihi mereka? Bacalah tasbih, takbir, tahmid, 33 kali selepas setiap kali solat.

Mudah bukan?

[4] Melakukan Solat Di Dalam Masjid

Dari Abu Umamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, ‎”Barangsiapa yang keluar dari rumahnya untuk solat jemaah dalam keadaan ‎telah berwudhu, maka pahalanya seperti pahala orang berhaji dalam keadaan ihram.

Dan ‎barangsiapa beranjak untuk melakukan solat Dhuha dan tidak ada yang ‎menyebabkan dia keluar (dari rumahnya) kecuali untuk solat Dhuha maka ‎pahalanya seperti pahala orang yang umrah. Dan solat setelah melaksanakan ‎solat yang di antara kedua solat tersebut tidak membicarakan masalah dunia, ‎adalah amalan yang akan dicatat di ‘illiyiin‎.” ‎(HR. Abu Daud 558)

[5] Pergi Ke Masjid Tanpa Niat Lain Kecuali Niat Hendak Menuntut Ilmu atau Mengajarkan Ilmu

Dari Abu Umamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Siapa yang berangkat ke masjid di pagi hari, tidak memiliki tujuan apapun selain untuk belajar agama atau mengajarkannya, maka dia mendapatkan pahala orang yang melakukan umrah sempurna umrahnya. Dan siapa yang berangkat ke masjid petang hari, tidak memiliki tujuan apapun selain untuk belajar agama atau mengajarkannya, maka dia mendapatkan pahala orang yang berhaji sempurna hajinya. (HR. Hakim 311)

5 Amalan Tambahan Untuk Memaksimumkan Pahala

  1. Solat dhuha 4 rakaat.
  2. Solat sunat nawaafil ( 12 rakaat; 2 sebelum subuh, 4 sebelum zuhur, 2 selepas zuhur, 2 selepas maghrib, 2 selepas isya).
  3. Berpuasa di hari Arafah.
  4. Bersedekah sama ada dengan harta atau perbuatan.
  5. Bantu orang yang memerlukan.

Allah Maha Pemurah dengan segala kemurahanNya hendak memberi kita pahala dengan pelbagai cara yang mudah jika kita tidak dapat melakukan yang berat. Ayuhlah kita berusaha menjadi orang yang diredhai Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Sumber : [1] [2] [3 – Ceramah Ustazah Dunia Shuaib]

Leave a Comment